Rabu, 1 September 2021

TIPS BERCINTA DENGAN BUKU.

Baca buku? Ramai yang bosan bila dengar perkataan baca buku. Mungkin ada juga yang berpendapat budaya membaca buku tidak lagi releven untuk trend masa kini. Mungkin ada benarnya, dengan lambakan pelbagai peranti moden dan aplikasi media sosial terkini, saya akui budaya membaca semakin terpinggir dan diketepikan. 
 
Menurut laporan 'Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015' terbitan UNESCO Institute for Statistics menunjukkan kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah sebanyak 94.94%. Secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 ke 20 buah buku setahun. Jika dibandingkan dengan jumlah penduduk dan kadar literasi rakyat negara ini, kita  jauh ketinggalan.

Bukankah membaca itu amalan mulia. Selari dengan peribahasa popular 'membaca jambatan ilmu', amalan membaca dapat membantu kita menambah ilmu pengetahuan. Dengan membaca menampakkan imej individu itu lebih bijak dan berilmu. 

Fakta menyatakan ada 3 Sebab Mengapa Individu Yang Membaca Itu Menarik; 

  • Mudah berempati dan bersikap memahami. 
  • Mempunyai perspektif dan pendapat sendiri.
  • Hadiah buku cukup membuatkan mereka bahagia.

** Sumber ini dipetik dari KLWBC2020. 

Secara peribadi saya bersetuju dengan fakta tersebut. Anda pula bagaimana?

         Sumber Foto : Pinterest 

Bagi mereka yang baru nak belajar mencintai buku, saya kongsikan beberapa tips untuk rujukan bersama.

📕Baca buku nipisMulakan aktiviti pembacaan dengan buku yang nipis dan mampu kita habiskan dalam masa satu hari. Contohnya, majalah. 

📕Cari buku yang menarik. Kaji genre dan bahan bacaan yang kita suka. Mungkin boleh bermula dengan novel atau majalah. Kalau anda gemar memancing, carilah majalah atau buku tentang memancing. Contohnya, majalah Sirip. Saya sendiri bermula dengan majalah, novel dan buku cerita fantasi. Lama-kelamaan saya boleh sesuaikan tahap pembacaan dengan genre lain yang menarik untuk dibaca. 

📕Membaca buku berkaitan buku. Anda boleh relate membaca buku tentang buku? Untuk memupuk minat membaca carilah bahan bacaan yang berbicara tentang buku. Atau cuba mencari buku hasil karya orang yang mencintai buku. Contohnya buku Membaca Motivasi & Kaedah (ITBM) dari penulis Zaini Ujang. Salah satu buku yang berkaitan buku dalam koleksi saya adalah The Magic Library by Jostein Gaarder.

📕Sertai kelab komuniti buku. Mari kita manfaatkan platform media sosial dengan aktiviti yang berfaedah. Menurut pengalaman saya, di laman Facebook ada banyak group komuniti pencinta buku yang aktif. Ambil peluang sedia ada untuk mengenali ahli dalam komuniti tersebut dan melibatkan diri dalam aktiviti seperti kuiz, peraduan dan resensi buku yang diadakan. Salah satu aplikasi terkenal yang saya join adalah Goodreads. Banyak review menarik yang diberi oleh pencinta buku hasil dari aktiviti pembacaan mereka. Tak lupa juga, cuba untuk mengikuti bookstagrammers terkenal di Instagram. Banyak perkongsian berkaitan buku menarik yang dikongsi dalam posting mereka.

📕Mula terus! Bila kita ada niat untuk membaca, jangan ditangguh. Sekiranya kita asyik bertangguh, kita yang rugi dan kita akan jadi malas. Pick a book dan terus mulakan pembacaan serta-merta. Kata orang, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Waktu terbaik untuk kita memupuk minat membaca ialah bermula dari sekarang bukannya nanti.

📕Tetapkan target. Sebagai seorang pencinta buku, saya agihkan masa dan tempoh tertentu untuk membaca. Saya akan pilih waktu yang sesuai contohnya weekend atau pun sebelum tidur. Tetapkan target buku yang hendak dibaca contohnya sebulan 2 buah buku. Bagi pembaca yang baru nak rasa bercinta dengan buku boleh guna pakai target ini. Bila dah terbiasa lama-kelamaan belajar untuk naikkan target  tersebut dari 2 buah ke 4 buah sebulan dan seterusnya. 

📕 Menabung dan self-reward. Jadikan buku itu salah satu self-reward hasil dari titik peluh kita mencari rezeki. Ini konsep yang saya amalkan sejak saya bekerja dan ada pendapatan tetap. Saya peruntukkan RM60 setiap bulan untuk membeli buku. Jumlah itu sebenarnya adalah terpulang kepada kemampuan masing-masing. Antara salah satu faktor paling ketara yang menghalang seseorang individu itu meneruskan hajat membaca buku adalah faktor kewangan. Jadi mulailah menabung. 

📕Terapi kedai buku dan perpustakaan. Jangan jemu masuk ke kedai buku atau perpustakaan. Bagi seorang pencinta buku, kedai buku dan perpustakaan merupakan terapi buatnya. Secara peribadi saya sendiri boleh tour dalam kedai buku hampir 4 jam tanpa sedar. Rata-rata banyak kedai buku yang sering menawarkan diskaun dan harga yang menarik. Sekiranya kita menjadi ahli, lagi banyak benefit yang kita dapat. Sebelum membuat sebarang pembelian, make sure kita dah tahu apa buku yang kita cari dan must buy. Amalan saya sehingga hari ini, ialah dengan menyediakan list buku apa yang saya nak miliki. Tidak membeli semua yang ada dalam senarai, tetapi saya akan cari dan baca dulu ringkasan sinopsis buku tersebut seterusnya membuat pilihan dan membeli mengikut keutamaan saya. Jadilah pembeli yang bijak ya. One more thing, jangan lupa update semula list books anda setelah membuat pembelian.

Bilakah kali terakhir anda menjejakkan kaki ke perpustakaan? Adakah anda aktif terlibat dalam semua program anjuran perpustakaan? Tepuk dada tanya selera. Perpustakaan hari ini tidak lagi membosankan macam zaman dulu-dulu. Seiring dengan arus pemodenan semasa perpustakaan juga turut membangun, lebih komprehensif dan kreatif. Jadi rajin-rajinkan diri anda melangkah ke perpustakaan. Bak kata pepatah, selangkah ke perpustakaan sejuta pengetahuan. 

Tips yang saya kongsi mungkin berbeza kerana setiap orang ada pendapat tersendiri bagaimana memupuk tabiat membaca. Hormatilah perbezaan pendapat dan raikan persamaan itu. Semoga tips ringkas ini dapat membantu mereka yang baru nak bercinta dengan buku. 

Cuma perlu satu buku untuk jatuh cinta pada membaca, cari buku itu, mari jatuh cinta!
-Najwa Shihab-

JOM BERCINTA DENGAN BUKU!

1 ulasan:

  1. Saya pencinta buku tapi saya kurang bajet nak beli buku selalu. Jadi saya cari buku baru di library je..mudah, banyak pilihan..muahahaha

    BalasPadam

ANTARA UJIAN DAN TAKDIR