Lamanya tidak menjengah ruangan blog ini, berhabuk ditinggalkan bertahun-tahun. Yelah, nak mengarang, mencari idea, bukan mudah. Hari ini, hati bagai dijentik nak luahkan sesuatu.
Baru-baru ini, kehidupan saya diuji dengan sesuatu yang berat. Tertampar dengan salah laku manusia yang tak disangka, peritnya kepercayaan yang dikhianati juga diuji dengan kawan-kawan rapat hilang, menjauh tanpa sebab.
Tidak saya menafikan, ada luka yang masih belum sembuh. Tapi dalam kepedihan itu, Allah hadirkan muka-muka baharu. Tanpa direncana, saya berkenalan dengan sahabat baru, malah dipertemukan juga dengan bakal keluarga baharu. Alhamdulillah, indah aturan Maha Pencipta. Mungkin ini bukan ganti atas kehilangan, tetapi pelengkap yang Allah kirimkan dalam hidup saya.
Dalam masa yang sama, saya juga diuji dengan masalah kekangan kewangan. Dalam saat kesulitan, masih ada lagi golongan manusia yang mengambil kesempatan. Terpana seketika, rasa gelap masa depan. Saya tertanya-tanya, kenapa semua ini berlaku serentak?
Jauh di suduh hati kecik saya tahu, ini semua bukan kebetulan. “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah: 216). Ayat ini menjadi penenang setiap kali hati rasa kecewa, sedih dan terluka.
Kini, saya sedang cuba berdamai dengan keadaan. Kehilangan itu tidak bermakna kita rugi. Kadang-kadang, Allah tarik sesuatu yang kita sayang supaya kita sedar, bahawa kebergantungan sebenar hanyalah padaNya. Cinta kepada manusia itu terbatas, tapi kasih Allah itu sentiasa ada dan tak pernah sekali tinggalkan kita.
Saya berpegang pada ayat ini “Bila Allah ambil sesuatu dari hidupmu, Dia bukan menghukum. Dia sedang menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik, cuma masanya belum tiba”. Setiap kali kecewa, saya ingatkan diri, Allah tak pernah lalai dalam menyusun takdir. DIA lebih mengetahui apa yang terbaik, walau pun hingga saat ini, kita sendiri tidak mengerti.
Pesanan saya, kepada yang sedang diuji, ketahuilah, Tak mengapa kalau ada hari-hari yang terasa berat. Tak mengapa juga kalau kita menangis di malam hari. Tapi jangan pernah rasa kita bersendirian. Allah Maha Mengetahui. Allah Maha Mendengar, dan percayalah Allah sedang merancang sesuatu yang indah buat kita semua. Tarik nafas panjang, hembuskanlah. Terus mengorak langkah walau perlahan. Asalkan langkah itu menuju kepadaNya, kita tetap berada di jalan yang benar. “Kesabaran bukan sekadar menahan marah, tetapi juga percaya bahawa pertolongan Allah itu pasti datang, walau lambat.”
Doakan saya terus kuat. Dan saya juga doakan kepada yang membaca luahan saya ini, sentiasa tabah dan yakin bahawa segala ujian yang menimpa hanyalah sementara. Yang pasti ganjaran di hujungnya, Insya-Allah, untuk selamanya.